Sunday 11 October 2015

Dekat Tetapi Jauh (2)

Poundland di seberang jalan.Gambar di ambil dari kawasan pejalan kaki di hadapan Whitworth Park(Spring)


Aku meraba-raba di dalam poket dengan tangan yang menggeletar.Telefon bimbit berjenama Sony Z1 dikeluarkan."Lapan darjah Celcius."Aku menarik nafas dalam dan menghembus kuat,mengeluarkan asap putih nipis yang perlahan-lahan lenyap ditelan udara pagi.Telefon bimbit yang bersarungkan sarung gel yang dibeli di Amazon diletakkan kembali ke dalam kocek baju.Langit putih cerah.Udara dingin dan kering.Kadang-kala kelihatan beberapa ekor burung merpati merayau-rayau di kawasan pejalan kaki di hadapan Whitworth Park.Di tempat menunggu bas yang berdekatan,kelihatan beberapa orang 'mat salleh' sedang berdiri dan kadangkala menjeling-jeling ke hujung jalan menunggu bas masing-masing.Angin berhembus lembut.Barangkali 'mood'nya sedang baik.Musim-musim begini kadangkala angin agak ganas menyeret dan melambung segala jenis sampah-sarap yang bertebaran di mana-mana.Seringkali payung yang aku beli di 'Poundland' shop rosak angkara angin hujan yang menggila sehinggakan aku serik dan lebih gemar memilih untuk memakai jaket kalis air setiap kali hendak keluar rumah.

Aku cuba mengingat kembali senarai barangan yang perlu dibeli.Aku perlu beli celery di pasaraya Lidl yang terletak di seberang jalan.Kemudian mungkin aku akan meninjau-ninjau rak-rak di Poundland sekiranya ada menjual beg laundry yang murah.Ah paling mahal atau paling murah pasti tetap satu pound.Facepalm dahi sendiri.Waktu pagi begini di Manchester selalunya jalan agak lengang pada hari hujung munggu.Hipotesis aku mengatakan hal ini disebabkan rata-rata rakyat di sini bukanlah beragama Islam maka mereka tidak perlu menunaikan solat subuh apatah lagi malam sabtu adalah malam untuk mereka keluar berhibur di kelab-kelab,Pasti pagi-pagi begini mereka masih lagi pening gara-gara mabuk meneguk minuman-minuman beralkohol.


Aku melempar pandang ke seberang jalan sambil menunggu isyarat bagi pejalan kaki melintas jalan.Mencongak-congak strategi untuk membeli-belah dengan kaedah yang paling efisien dengan mengambil kira soal masa,tenaga dan keselamatan diri dari dikejar pengemis-pengemis yang kurang beradab yang sering beroperasi di sekitar sini.Aku fikir akan pergi ke Poundland shop dahulu lalu ke Lidl kemudiannya.Pengemis-pengemis yang digeruni itu tiada dalam pandangan buat masa ini maka tidak sukar untuk merancang perjalanan.
Kelajuan kenderaan yang menghampiri dari kedua-dua belah sisi semakin susut lalu berhenti di hadapan laluan melintas jalan yang bercat warna merah.Pada waktu yang sama,bunyi 'bip-bip' kedengaran,dan simbol pejalan kaki bertukar hijau mengisyaratkan waktu untuk melintas.Aku mengemaskan pegangan beg-beg plastik di tangan sambil mengembalikan pandangan ke hadapan.Berdiri di seberang jalan,adalah sekumpulan pelajar Melayu.Barangkali pelajar-pelajar 'senior',aku sempat meneka.Aku mengecilkan mata,cuba untuk menajamkan fokus penglihatan.

Langkahku mati
"No wayyy!"

Standing still at the side of the road,
when the light turns green,
And you were there,at the opposite side,
Just exchanging looks but time seems to stop falling,
The leaves falling before my eyes,
People passing by..


Berdiri dalam kumpulan pelajar-pelajar Melayu itu adalah seseorang yang amat aku kenal.
"Robert Along Den!"
Di seberang jalan sana,pemuda  bertopi itu juga kelihatannya mati langkah.Bibirnya yang tadi terkumat-kamit membicarakan sesuatu kepada teman-temannya tinggal melopong .Pandangannya terus tertala ke arahku.Dari kedua-dua belah arah,manusia-manusia lain terus sahaja berpusu-pusu melintas.Kadang-kala susuk tubuhnya hilang ditelan manusia-manusia lain .Tapi tetap pandangan ku tak beralih dari mencari-cari kelibatnya di sana.Robert Along Den,bayang pada air tenang!Dia yang selalu hilang dan muncul tanpa diduga.

Time is stopping,
But its just for us now,
The world remains its motion,
had always been so.
Days had passed while the clock was ticking,
Like a raindrop,
fallen into wild stream,
I got caught into the turbulence,
pulled into the current..


Bunyi 'bip-bip' berakhir.Kenderaan kembali meluncur laju dari kiri dan kanan.Dia masih di situ sedangkan kawan-kawannya sudah sampai ke sini.Dia masih merenung dari jauh.Masih ingatkah dia?Aku melihat dia perlahan-lahan mengukir senyum dan mengangkat tangan mengisyaratkan aku supaya kekal berdiri di situ. 
He's coming..

Like seeing the shadow in the stagnant water,
give the slightest touch,
will it drive you away?
Afraid of breaking the spell,
and truth discovered,
afraid of stepping further,
for the illusion might disappear.

So yeah,
Im still standing at this side of the road.
And you're still there...

Robert Along Den berlari anak dari seberang jalan sambil menanggalkan topinya.Rambutnya yang halus hitam meliuk-liuk bersama pergerakannya.Beg plastik yang bercetakkan logo 'Morrison' berayun-ayun di sisinya.Daun kering yang dilempar angin jatuh berserakan di kakinya sebaik sahaja dia berdiri satu meter di hadapanku."He's here.."Aku masih berdiri pegun bagaikan lumpuh satu badan.Dia melebarkan senyum.Kelihatan ada garis-garis kecil di tepi kedua-dua hujung matanya sewaktu dia senyum.Rambut hitam itu jatuh di dahi pada wajah yang bertonakan warna kuning langsat itu.

"Assalamualaikum.."Dia menyapa.

                                           From google images

****

Aku suka membayangkan diri sebagai 'perentas waktu'.Aku suka membayangkan diri aku hidup dalam gabungan dua dimensi waktu.Setiap kali aku mendongak ke langit,setiap kali aku berlari anak dan melompat di atas daun-daun kering ,setiap kali aku menari-nari di atas kawasan pejalan kaki di bawah pohon-pohon yang bunga-bunga merah jambu,minda aku akan hanyut ke waktu yang lalu.Aku akan menutup mata dan menyanyikan lagu 'Angin kencang' dendangan band Hujan sementara minda aku melompat ke waktu aku di kolej persediaan Kolej MARA Bintang itu.Aku membayangkan diri berjalan di bawah pohon bunga kemboja dan menikmati harumannya.Aku membayangkan diri mengutip bunga kemboja yang gugur di pagi hari dan melekat di celah-celah rumput hijau basah.Semerbak bau kemboja yang akan tersebar ke dalam poket baju setelah bunga itu layu didalamnya.

Lagu angin kencang adalah lagu aku dan nostalgia lalu.Jampi yang akan menyihirkan kerinduan kepada kenangan dan kenalan lama lalu membawa minda aku hanyut ke dalam alam memori.Sihir bagi Sang Perentas waktu memutar jarum jam 'anticlockwise' dan hilang dalam angan-angannya.Dan sekarang,aku hilang dalam kisah lalu.

"Okey sekarang untuk majlis berbuka puasa,kita nak AJK untuk makanan.Siapa boleh ek?"Zaki mengangkat wajahnya dari buku nota yang dipegangnya lalu memandang ke wajah setiap ahli kelab.Seperti biasa,setiap ahli akan menunduk setiap kali kata-kata begitu dilontarkannya."Typical Melayu,"fikirku sedang aku juga menunduk merenung lantai kelabu yang kosong.

"Noura boleh?"Raihan mencuit lututku.
Aku spontan mendongak."Ha?"
"Ok..Noura eh?"Zaki kembali menunduk dan menulis sesuatu dalam buku notanya..
"Eh tapi.."
"Siapa in-charge cari tempat eh?"Zaki segera memintas.Cubaan yang sengaja,aku arif dengan sikapnya.Dia sempat melirik pandang ke arahku dengan senyum 'evil' sebelum mengalihkannya ke arah wajah ahli-ahli yang lain.
Perbincangan itu berterusan.Sempat aku membuat beberapa cubaan nakal dengan mencalonkan nama beberapa teman rapat untuk beberapa tugas sebagai tindakan memulang paku buah keras.Aku mencalonkan Zaki untuk aktiviti persembahan sedangkan aku arif benar dengan sifatnya yang pemalu dan kekok.Zaki membalas dengan meletakkan Robert Along Den untuk bekerja di bawahku.Tindakan yang bijak dan kejam memandangkan semua sedia maklum dengan cabaran bekerja dengan lelaki itu.Robert Along Den adalah ahli 'Chipsmore' yang sekejab timbul dan sekejab ada.Tetapi dia lebih mirip dengan 'Chipsmore' tiruan yang dijual secara timbang di kedai runcit dan kebiasaannya tidak ada cip coklat meskipun dinamakan dengan nama biskut cip coklat.Ironi kan?Maka berkerja dengannya umpama kenyataan beralas yang menyimpan maksud tersirat "You're alone.".

Aku sempat menangkap sengih jahat Zaki.
"Gotcha!"

(Bukan calon isteri yang baik)
Kolej MARA Bintang



Nota Penulis:

Noura Nur

Aku suka dihujani daun-daun kering musim luruh,merasai dinginnya angin yang mengelus kulit,aku suka berlari dan melompat di atas lopak-lopak air,melihat percikan cecair jernih melambung ke udara lalu pecah menjadi cahaya-cahaya halus..Bertebaran ke serata arah.Dunia ini sungguh cantik.
Aku manusia 'dua dunia' yang sering hanyut ke lohong imaginasi yang dalam dan sering sesat di dalamnya.Dari masa ke masa,duniaku akan beralih dimensi  bagi mengutip sedikit rasa sementara jasadku menyusun kata-kata.Jika kau cari aku,jangan kau lihat dengan mata.Carilah pada kata-kata.

Dan jika kau tertanya-tanya,ini bukan kisahku.Ini sekadar susunan kata-kata dari idea spontan,melalui perasaan yang dalam.Himpunan rasa yang ku kutip dari dimensi waktu yang pelbagai.Manipulasi kata.Permainan persepsi.
Aku cuma merepek.



No comments:

Post a Comment